 Dipetik dari Berita Harian Online
Oleh Norhana Osman Haron dan Faizal Mahmood (pembaca Berita Minggu)
Pusaranya sentiasa dipenuhi bunga, anak patung daripada peminat setia
SELAMAT Datang ke Dunia Elvis Presley. "Most Kings Have Castles, Elvis Had A Home".
Destinasi bajet selama tiga minggu ke Amerika Syarikat memberi kesempatan kepada kami suami isteri menjejaki Graceland, rumah agam putih dan estet peninggalan Raja Rock n Roll, Elvis Aaron Presley.
Graceland terletak di 3734, Elvis Presley Boulevard, Memphis, Tennesse. Berkeluasan 56,000 meter persegi, mendiang Elvis membelinya ketika berusia 22 tahun dengan harga AS$100,00 (kira-kiraRM350,00) pada 1957, tetapi hanya dibuka kepada orang ramai pada 1982.
Menurut kajian, Graceland adalah kediaman persendirian yang paling ramai dikunjungi selepas Rumah Putih di Washington DC.
Graceland juga tempat kelahiran lagenda muzik tersohor seperti Johnny Cash, Isaac Hayes, B B King, Jerry Lee Lewis, Otis Reading dan bintang sensasi pop terkini, Justin Timberlake.
Sebaik kami mendaftar masuk di hotel bersebelahan Graceland, kami terus membeli tiket lawatan berharga AS$32.
Pengunjung serta peminat Elvis sudah mula berbaris panjang biarpun waktu lawatan bermula seawal jam 9 pagi hingga 4 petang. Semua pakej lawatan bermula di Graceland Plaza yang mana kami dibawa menaiki bas mini serta dibekalkan alat bantuan audio.
Sebaik melintasi pintu pagar Wall of Love, hati berkobar-kobar ingin mengetahui dan menyelami suka-duka kehidupan lagenda yang masih dipuja dan diingati peminat setianya. Selepas diberi penerangan ringkas oleh pemandu pelancong, kami terus melangkah masuk disambut lagu "Welcome To My World".
Dimulakan dengan ruang tamu diikuti dengan ruang muzik, bilik tidur ibu bapa Elvis, ruang makan dan dapur yang terletak di tingkat bawah tanah.
Meditation Garden tempat Elvis disemadikan.
"Jungle Room" yang terkenal sebagai tempat Elvis merakamkan lagu bertemakan Hawaiian. Dari ruang ke ruang, kami sedikit sebanyak dapat menyelami kehidupan masa lampaunya yang diceritakannya sendiri dan anak perempuannya melalui alat bantuan audio.
Sebaik keluar melalui pintu belakang, ada sebuah bangunan putih yang menempatkan bilik kerja Elvis. Selain itu, bilik yang dipanggil "Trophy Room" yang mempamerkan album yang dihasilkan, poster filem lakonannya serta pakaian, kosmetik sehingga anak patung Elvis yang dihasilkan pada tahun 1950an.
Selain deretan anugerah multi-platinum, emas dan perak yang tidak terkira banyaknya , dipamerkan juga pakaian perkahwinan beliau dan isterinya, Priscillia serta cek yang ditulisnya untuk kebajikan.
Saat-saat yang buat kami terpegun ketika menyusuri deretan Hall of Gold ialah melihatkan betapa besar dan hebatnya bakat lagenda ini. Sehingga kini, lebih daripada satu bilion albumnya terjual di seluruh dunia.
Sepanjang kariernya, Elvis memenangi tiga anugerah Grammy (daripada 14 pencalonan) serta 33 filem box office. Kami sempat juga menjenguk ke kandang kuda yang masih digunakan sehingga kini.
Lawatan 2 jam itu di akhiri dengan "Meditation Garden" yang mana mendiang Elvis disemadikan bersebelahan ibu bapanya, Vernon dan Gladys serta neneknya. Biarpun sudah lebih 31 tahun perginya Elvis, peminatnya masih tidak mengunjungi pusaranya.
Pusaranya sentiasa dipenuhi bunga-bungaan dan anak patung. Juga kelihatan peminat setianya yang masih bersedih dan menitiskan air mata.
Biarpun kami bukanlah peminat setia mendiang tetapi sebaik meninggalkan kawasan kediamannya, dalam hati mengiyakan kehebatan Elvis Presley bukan saja sebagai seorang penghibur yang berkarisma dan berbakat besar malah sebagai seorang lagenda seni yang tiada gantinya.
Selain kediamannya, terdapat juga tempat lain yang harus di lawati seperti Elvis Automobile Museum yang menempatkan 33 kenderaan termasuk Pink Cadillac, motosikal Harley Davidson, go-kart, buggy dan banyak lagi.
Manakala ada 2 jet peribadi mendiang dan salah satunya diberi nama Lisa Marie sempena nama anak tunggal perempuannya. Didalamnya ada ruang tamu, bilik mesyuarat, ruang rehat dan bilik peribadi yang dilengkapi dengan tempat duduk baldu serta tali keledar yang bersalut emas dan sinki emas 24 karat.
Ia turut dikenali sebagai "Flying Graceland". Sementara Lockheed Jetstar digunakan untuk membawa pengurus serta pekerjanya untuk ke pertunjukan pentas.
Selain itu, Sincerely Elvis, menempatkan "Elvis Jumpsuits All Acsess" adalah koleksi terbesar pakaian ketika konsert meganya. "Private Presley Exhibit" pengalaman yang dilaluinya sebagai tentera pada tahun 1958.
Elvis 68 pula mempamerkan segala rakaman, gambar serta artifak sejarah mendiang sempena meraikan ulang tahun ke 40 "68 Comeback Special".
Info:
# Elvis dilahirkan kembar pada 8 Januari 1935 di Tupelo, Mississippi, tetapi abang kembarnya Jessie Garon meninggal dunia ketika dilahirkan. Beliau berpindah ke Memphis pada tahun 1948 dan menamatkan persekolahannya di sana.
# Berkahwin pada tahun 1 Mei 1967 di Aladdin Hotel, Las Vegas. Mempunyai seorang anak perempuan Lisa Marie Presley yang dilahirkan pada 1 Februari 1968.
# Selain Graceland, Memphis turut dikenali sebagai "Home of The Blues" and "Birth Place of Rock n Roll".
# Tempat lain yang menarik dikunjungi seperti Beale Street, Sun Studio - studio di mana Elvis merakamkan single pertama beliau, Memphis Rock n Roll Museum, National Civil Right Museum, The Birthplace of Elvis Presley, Heartbreak Hotel, Stax Museum of American Soul Music dan banyak lagi.
# Terdapat hotel dan motel sepanjang Elvis Presley Boulevard, Graceland Days Inn adalah pilihan terbaik kerana terletak bersebelahan Graceland.

 | thanks sister for sharing... |
 | memang di jamannya, Elvis ini sangat fenomenal ya? TFS
salam |
 | thanks Pakde...for sharingnya... |
| |