 Apakah garis panduan Islam untuk membina rumahtangga yang bahagia dan keluarga yang harmoni? Islam telah menggariskan satu panduan hidup yang lengkap dan rapi pada segala perkara yang berkaitan dengan penghidupan manusia. Keamanan dan kesejahteraan yang wujud dalam sesebuah keluarga adalah faktor terpenting bagi mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, bahagia dan cemerlang. Tugas setiap ahli keluarga hendaklah dilaksanakan dengan sempurna mengikut hak masing-masing. Suami mempunyai hak ke atas isteri dan anak-anak dan demikian jugalah sebaliknya. Jika setiap anggota keluarga tahu melaksanakan hak mereka maka akan wujud keharmonian dan kecemerlangan di dalam keluarga mereka. Keluarga Islam wajib menjadikan Islam sebagai panduan dan cara hidup. Syariah, akidah dan akhlak Islam perlu menjadi dasar hubungan kekeluargaan ini. Menjadi tugas dan tanggungjawab suami isteri untuk mendokong dan menghayati konsep al-Mawaddah dan al-Rahmah sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Rum ayat 21 yang bermaksud; 'Antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t ianya mencipta untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang (Al-Mawaddah) dan belas kasihan (Al-Rahmah), sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda orang-orang yang berfikir'. Terdapat beberapa ciri yang perlu ada untuk membentuk sebuah keluarga cemerlang antaranya bertakwa, bekerjasama, saling memahami, sayang menyayangi dan bertanggungjawab. Bagi membentuk keluarga cemerlang juga, kita perlu berhijrah dengan menjadikan rumah sebagai syurga iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan. Ini dapat dicapai dengan mengerjakan sembahyang berjemaah sekeluarga dan menerapkan amalan membaca al-Quran atau bertadarus bersama-sama. Oleh itu, setiap lelaki muslim sebelum melangkahkan kaki ke alam perkahwinan dan menjadi ketua keluarga, adalah menjadi satu kewajipan melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu-ilmu agama sebagai persiapan membina keluarga cemerlang. Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 34 yang bermaksud; 'Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah belanjakan sebahagian dari harta benda mereka.' Sebagai ketua keluarga, suamilah yang mencorakkan kehidupan sesebuah keluarga. Jika keluarga dicorakkan dengan acuan kehidupan ala barat, maka begitulah jadinya. Tetapi jika suami mempunyai kesedaran roh Islam, sudah pasti akan terdidiklah ahli keluarga mereka dengan syariat Islam yang sebenar. Anak-anak yang tabiinya berkeadaan suci bersih maka ditangan ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan anak mereka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, Islam telah memberi garis panduan yang jelas berkenaan ketaatan seorang isteri kepada suaminya iaitu bukan pada perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam iaitu al-Quran dan Sunnah. Isteri sememangnya memiliki kelebihan dan potensi yang tiada pada suami. Kelembutan, penyayang dan penyabar merupakan ciri terpenting dalam mendidik anak-anak dan pasangan hidup yang sempurna. Oleh itu, isteri mesti memainkan peranan membina keluarga cemerlang dengan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada suami.

| |
|